27 Jun 2009

Err..foton (cahaya) ini sebenarnya zarah atau gelombang??

Sejak sekian lama, cahaya telah dianggap sebagai gelombang, tetapi hanya pada tahun 1905, Albert Einstein telah memperkenalkan idea bahawa "Cahaya juga terdiri daripada unit terkecil tenaga yang tidak boleh dibahagi-bahagi lagi (zarah) dikenali sebagai foton". Andaian ini merupakan antara perkembangan terpenting dalam pemahaman manusia tentang cahaya. Cahaya bukan sahaja merupakan gelombang, tetapi juga merupakan zarah.

Adakah foton itu sesuatu yang menyerupai bola tenis di alam mikro?
Tidak. Sebiji foton bukanlah hanya sebiji zarah, bukan juga hanya sebuah gelombang. Sebaliknya, foton ialah sesuatu yang mempunyai sifat-sifat zarah, dalam masa yang sama mempunyai juga sifat-sifat gelombang. Inilah yang dipanggil "Kembaran Zarah Gelombang".
Di alam kita ini (alam makro), tidak ada sesuatu pun benda yang mempunyai kedua-dua sifat zarah dan gelombang, maka sebab itulah amat sukar membayangkan rupa bentuk foton di kepala kita.

Daripada rencana "Kembaran Zarah-Gelombang III" yang lepas, dapat diketahui bahawa Belang-belang Pertembungan Gelombang yang terbentuk pada skrin membuktikan cahaya bukanlah hanya terdiri daripada zarah-zarah yang ibarat bola-bola tenis di alam mikro. Andainya cahaya hanyalah zarah-zarah semata-mata, pastinya belang-belang itu tidak terbentuk, sebaliknya zarah-zarah cahaya akan berkumpul di belakang celahan sahaja.

Daripada rencana lepas, "Kembaran Zarah-Gelombang VII : Cahaya juga zarah" pula, dapat diketahui bahawa, terdapat banyak fenomena yang tidak dapat dijelaskan sekiranya cahaya itu hanya dianggap sebagai gelombang semata-mata. Seperti bintang yang terletak beribu-ribu tahun cahaya dari bumi boleh dilihat dengan mata kasar tanpa mengambil masa yang panjang, dan kulit yang tidak terbakar (terkena senaran matahari) apabila memanaskan badan di hadapan alat pemanas.

Pengikut