07 Mac 2009

Memahami Istilah "Kuantum"

   Diambil daripada bahasa Latin yang bermaksud "bilang", Kuantum bermaksud "ketulan-ketulan seni (kecil)  yang boleh dikira... satu biji, dua biji, tiga biji dan seterusnya."

   Misalnya, sebelum lahirnya Teori Kuantum, tenaga yang dipunyai oleh cahaya dianggap selanjar. Selanjar di sini bermaksud berterusan dan bersambung-sambung, tidak boleh dikira. Secara mudahnya, katalah ada cahaya yang mempunyai tenaga sebanyak "1", maka ada juga cahaya yang mempunyai tenaga sebanyak "1.1", "1.01", "1.001", "1.0001" dan seterusnya. Unit tenaga  ini dianggap boleh dibahagikan tanpa batasan.

   Bagaimanapun, setelah lahirnya Teori Kuantum, barulah diketahui bahawa tenaga yang dipunyai oleh cahaya bukanlah selenjar. Tenaga ini mempunyai unit terkecil yang tidak boleh dibahagikan lagi, hanya boleh dikira sebagai 1, 2, 3, 4, 5, ... dan seterusnya. Tiada lagi pecahan yang lebih kecil daripadanya seperti 1.1, 1.01, 1.3, 2.4 dan sebagainya. Tenaga cahaya ini didapati tidak selanjar mengikut Teori Kuantum. Ketulan-ketulan terkecil cahaya ini dipanggil foton. Foton inilah yang dipanggil kuantum. Selain ketulan terkecil cahaya, terdapat juga ketulan terkecil kuantum lain.

   Dalam kehidupan seharian, cahaya disebut foto secara istilahnya. Tetapi, apabila ingin menekankan kewujudan cahaya tersebut sebagai kuantum, akhiran "n" atau "on" ditambah. Misalnya, foto menjadi foton. Contoh-contoh lain ialah magnon untuk menyatakan kuantum magnet,  fonon untuk menyatakan kuantum bunyi (fono) dan lain-lain.

   Dalam bahasa Jepun pula, "子" ditambah di hujung istilah untuk menandakan wujudnya konsep quantum dalam sesuatu tenaga atau benda itu. Misalnya, 光 untuk cahaya dalam istilah harian disebut 光子 untuk istilah Teori Quantum dan lain-lain.

   Pada pendapat saya, mungkin perkara ini lebih mudah difahami dalam bahasa-bahasa Asia Timur seperti Jepun dan Mandarin. Misalnya;
  • 量 (kuantiti) itu ialah bilangan, tetapi apabila kita ingin menekankan yang 量 (kuantiti) itu boleh dibilang dengan unit terkecil 1 ketul, 2 ketul, 3 ketul, .. maka kita sebut 量子(kuantum).
  • 光 (foto) itu ialah cahaya, tetapi apabila kita ingin menekankan yang 光 (foto)  itu boleh dibilang dengan unit terkecil 1 unit cahaya, 2 unit cahaya, 3 unit cahaya, .. maka kita sebut 光子 (foton).
  • 音 (fono) itu ialah bunyi, tetapi apabila kita ingin menekankan yang 音 (fono) itu boleh dibilang dengan unit terkecil 1 unit bunyi, 2 unit bunyi, 3 unit bunyi, .. maka kita sebut 音子 (fonon).

Bahasa Melayu---Bahasa Saintifik---Istilah untuk melambangkan wujudnya quantum
Bilangan-----Kuantiti(量)-------Kuantum (量子)
Cahaya------Foto(光) -----------Foton (光子)
Elektron-----Elektron(電子)-----Elektron(電子) 
Bunyi--------Fono(音)----------Fonon (音子)
Magnetik----Magnetik (磁気)----Magnon (磁子)
Pengutuban--Polar (分極)--------Polaron (分極子)

* tiada konsep selanjar untuk elektron kerana elektron sememangnya ialah ketulan-ketulan.

Istilah:
  • selanjar - berterusan, bersambung-sambung 連続的
  • diskret - tidak selanjar nilainya melompat-lompat 1,2,3,... 離散的

Rujukan : 
  • 量子力学 椎木一夫 Ilmu Pergerakan Kuantum, tulisan Shiiki Kazuo (Pensyarah di Universiti Keio), terbitan Shokabo, Tokyo, 2002
  • Majalah Newton Keluaran Khas 2006.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pengikut