07 Mac 2009

Berapa besarkah alam mikro?

   Segala jasad terdiri daripada pecahan-pecahan paling kecil iaitu atom. Pada penghujung abad ke-19, apabila fenomena-fenomena melibatkan atom dikaji dengan teliti, didapati bahawa alam mikro amat berbeza dengan dunia yang kita kenali sekarang.  Jasad mikro mempunyai sifat-sifat yang sangat ganjil dan tidak dapat diterangkan menggunakan Ilmu Pergerakan Newton.
   
   Oleh yang demikian, suatu teori baru yang menjangkaui Ilmu Pergerakan Newton  diperlukan untuk menerangkan sifat aneh jasad-jasad ini. Maka dari situlah lahirnya Teori Kuantum. Teori Kuantum ialah
teori yang merungkai sifat-sifat jasad yang terbentuk daripada zarah, cahaya dan lain-lain di alam mikro yang seni.   
   Bagaimanapun, perlulah diberi perhatian kepada perkataan "mikro" di sini. Misalnya, sel-sel badan yang besarnya kira-kira 0.01mm adakalanya dinyatakan dalam unit mikro. Pun begitu, untuk mengungkapkan sifat-sifat sel badan, Teori Quantum tidak perlu digunakan (bukan tidak dapat/tidak boleh digunakan, tetapi akan menyukarkan pengiraan). Alam mikro yang dimaksudkan perlu menggunakan Teori Quantum untuk dijelaskan ialah pada skala atom dan nukleus, iaitu kira-kira satu per sepuluh juta mm (1/10 000 000 mm) ke bawah. Dapatkah anda membayangkan skala 1/10 juta mm itu? Mungkin sukar membayangkannya. Bayangkan saiz bumi ini dengan saiz sebiji guli. Nisbah perbandingan saiz bumi dan guli itu samalah dengan saiz sebiji bola tenis dengan sebiji atomnya. Sekarang dapatkah anda bayangkan betapa kecilnya alam mikro?

Bumi (diameter kira-kira 13000 km) : Guli (diameter kira-kira 1 cm)

Bola Tenis (diameter kira-kira 7 cm) : Atomnya (diamter kira-kira 1/10 juta atau 1 nm )

   Sebiji atom pula terbentuk daripada nukleus yang dikelilingi elektron di sekelilingnya.  Nukleus ini mempunyai cas positif manakala elektron mempunyai cas negatif. Skala nukleus dan elektron
pula jauh lebih kecil berbanding sebiji atom. Katalah saiz sebiji nukleus ialah sebesar sebiji guli, maka orbitnya ialah sebesar Stadium Bukit Jalil apabila guli itu diletakkan di tengah 
padang. Saiz elektron di orbit nukleus itu tidaklah diketahui, namun yang pasti, ia jauh lebih kecil berbanding nukleus itu sendiri.

Stadium Bukit Jalil : Sebiji guli di tengah padangnya = 
Orbit nukleus : sebiji nukleus di tengah-tengahnya.

-------------------------------------------
Istilah
Alam mikro
mikro
atom
nukleus
zarah
elektron

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pengikut