07 Mac 2009

Kembaran Zarah-Gelombang I

   Untuk memahami Teori Kuantum ini, dua kunci kata utamanya ialah "Kembaran Zarah-Gelombang" dan "Kewujudan Beberapa Keadaan Serentak" .


   Kali ini, kita kupas konsep Kembaran Zarah-Gelombang dahulu. Kembaran Zarah-Gelombang bermaksud, jasad mikro seperti elektron dan foton (cahaya) mempunyai kedua-dua sifat sebagai gelombang dan sebagai zarah.

   Gelombang ialah fenomena di mana sesuatu yang berayun di tempatnya itu merambat ke sekitarnya. Contoh gelombang yang paling hampir dengan kita ialah riak di air. Apabila  sebiji batu dibaling ke permukaan air, permukaan air di tempat tenggelamnya batu tersebut diayun, dan ayunan itu merambat ke sekitarnya membentuk gelombang.

   Gelombang itu merambat dan tersebar. Sekiranya wujud halangan untuk gelombang merembat, gelombang itu akan membengkok di sekeliling benda halangan itu dan mara ke hadapan. Fenomena ini disebut "belauan".

   Bagaimana pula dengan zarah? Zarah ialah ibarat sebiji bola billliard yang dikecilkan ke unit mikro. Gelombang tidak wujud pada satu titik kerana sifatnya merambat (tersebar dan membesar ke sekeliling). Bagaimanapun, bola/zarah boleh wujud pada satu titik. 

   Berbeza dengan gelombang yang merambat, zarah pula bergerak lurus apabila dikenakan daya. Selagi tiada daya seterusnya dikenakan, ia akan terus bergerak lurus.

Kembaran Zarah-Gelombang Sukar Dibayangkan
   Daripada penjelasan tentang gelombang dan zarah di atas, dapatlah kiranya difahami bahawa gelombang dan zarah mempunyai dua sifat yang sama sekali berbeza. Wujudnya sesuatu jasad yang mempunyai kedua-dua sifat ini bukanlah kefahaman biasa kita. Misalnya, dapatkah kita bayangkan bola billiard yang dipukul itu merambat seperti gelombang? 

   Sebenarnya, jasad-jasad mikro seperti foton (cahaya), elektron dan magnon mempunyai sifat kembaran zarah-gelombang ini. Di sinilah kesukarannya memahami Teori Kuantum, kerana ia bukan perkara biasa bagi kita. Imaginasi yang tinggi perlu dalam memahami konsep ini. Keadaan seharian di dunia kita berbeza sekali dengan keadaan di dunia mikro. Perkara yang aneh bagi kita, merupakan perkara biasa bagi alam mikro, dan sebaliknya perkara yang biasa bagi kita, mungkin aneh di alam mikro.  Hal ini akan dikupas lanjut dalam rencana-rencana akan datang.

-------------------------------------
Istilah : 
  • Kembaran Zarah-Gelombang - Sifat pada jasad mikro yang menyatakan bahawa ia mempunyai kedua-dua sifat sebagai zarah dan sebagai gelombang. 波と粒子の二面性,波と粒子の二重性
  • Ayunan - 振動
  • Gelombang - 波
  • Zarah - 粒子
  • Merambat / rambat - tersebar (salah satu sifat gelombang), 広がりながら進む
  • Belauan - 回折, diffration



   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pengikut