08 Mac 2009

Kembaran Zarah-Gelombang II - Mengenali Gelombang

   Sebelum kelahiran Teori Kuantum, ahli sains sehingga hujung abad ke-19 berpendapat bahawa cahaya ialah sejenis gelombang. Sebelum pergi lebih jauh, apakah itu gelombang?

   Apabila seutas tali diayunkan, puncak (bahagian yang tinggi) dan lembangan (bahagian yang rendah) akan terbentuk dan ia mara ke hadapan. Daripada hal ini, gelombang bolehlah dikatakan sebagai bentuk-bentuk puncak dan lembangan yang mara ke hadapan. Bahagian-bahagian pada tali itu pula tidak mara ke hadapan seperti mana puncak-puncak dan lembangan-lembangan itu. Seperti tangan yang diayun, tali itu juga hanya bergetar 

   Jika arah pergerakan gelombang berserenjang dengan arah ayunan tali, gelombang begini disebut "Gelombang Melintang", manakala jika arah pergerakan gelombang selari dengan arah ayunan tali, gelombang ini disebut "Gelombang Membujur". Ketinggian puncak (atau kedalaman lembangan) disebut "amplitud" dan panjang sebuah puncak + sebuah lembangan disebut "panjang gelombang".


Atas : Gelombang Membujur
Bawah: Gelombang Melintang



  Baiklah, mari kita fikirkan dua gelombang berlainan arah, satu dari kanan tali, dan satu lagi dari kiri tali, berlanggar satu sama lain di tengah-tengah tali. Apabila dua puncak berlanggar satu sama lain, ketinggian puncak itu menjadi dua kali ganda (semakin tinggi, saling menguatkan), apabila puncak berlanggar dengan lembangan,  kedua-duanya saling melemahkan dan menyebabkan tali menjadi rata (menjadi rata, saling melemahkan), dan apabila lembangan bertemu lembangan pula, kedalaman lembangan itu menjadi dua kali ganda (semakin dalam, saling menguatkan). Fenomena dua gelombang yang saling menguatkan atau saling melemahkan apabila bertembung satu sama lain disebut "perlanggaran gelombang (atau interferens gelombang)".

Bunyi Juga Sejenis Gelombang
   Bunyi ialah gelombang yang menghantar udara. Apabila gendang dipalu, permukaan gendang itu bergetar dan mengayun udara. Ayunan ini terjadi apabila udara berselang-selang antara bahagian yang mampat udaranya dan bahagian yang nipis udaranya. Arah pergerakan udara ketika ini selari dengan arah pergerakan gelombang. Maka gelombang bunyi ialah sejenis "gelombang membujur".

------------------------
Istilah:
Puncak : Bahagian paling tinggi pada satu gelombang, 山 (gunung dalam bahasa Jepun), crest
Lembangan : Bahagian paling rendah pada satu gelombang, 谷 (lembah dalam bahasa Jepun), trough
Gelombang Melintang : 横波, Transversal wave
Gelombang Membujur : 縦波, Longitudinal wave
Amplitud : Ketinggian puncak atau kedalaman lembangan, 振幅, Amplitude
Panjang gelombang : Panjang sebuah puncak + sebuah lembangan, 波長, Wavelength
Saling Menguatkan : 強め合う
Saling Melemahkan : 弱め合う
Pertembungan gelombang : Fenomena apabila dua gelombang bertembung/berlanggar, 波の干渉, disebut juga Interferens, tetapi mungkin istilah "intereferens" kurang memberi gambaran sebenar kepada kita maka saya guna istilah "pertembungan", Interference

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pengikut